Saturday, November 27, 2010

Jangan Ditangisi Apa yang Bukan Milikmu

Dalam perlanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!!!


Segalanya milikMU ya Allah..

Alhamdulillah syukur atas segala nikmat yang telah Engkau kurniakan kepadaku=)

ku pohon padaMU ya Rabbi, berilah daku kekuatan untuk menghadapi segala ujian..~

Logik Akal VS Logik Hati

"Please switch off mobile," pesan Pak Imam.

Allahuakbar. Takbir memisahkan kita dengan dunia luar. Kita kini sedang membuat persembahan. Persembahan kepada Allah s.w.t.

Tet..tet..tet..

"Ya Allah ringtone siapa la pula ni," hatiku mendengus kemarahan.

Tet..tet..tet..

Masih berbunyi.

Tet..tet..tet..

"Ya Allah..taknak off lagi tu.." memang mencabar keimanan.

Bukankah baru sekejap tadi Imam memberi peringatan. Ada juga manusia yang kurang faham. Geram!

Demikian peristiwa yang bukan sekali tapi acap kali berulang. Banyak manapun pesanan oleh Imam, tetap ada yang degil dan keras kepala.

Ini adalah refleksi kehidupan manusia. Jika dibaca dan direnung kitab Allah s.w.t, terlalu banyak peringatan yang diberikan. Namun menariknya, manusia tetap tidak mempedulikannya.

Ironinya sekiranya mereka menghadiri majlis-majlis keraian orang besar-besar seperti majlis bersama raja-raja, tahu pula mereka etika berbicara. Tahu pula adat bersama orang hebat. Tapi bila hendak menghadap Allah s.w.t, tidak mengapa, Allah Maha Mengetahui.

Suatu hari aku bersembang dengan Mr. X. Kami berbincang tentang perkara yang sama. Cuba mencari punca masalah.

"Kita membuat keputusan bukan menggunakan akal. Tapi hati. Ramai orang hatinya mati. Maka gunakanlah banyak logik akal sekalipun, tidak menjadi. Yang kena guna adalah logik hati!!!"

Logik hati?

Tidak pernah kudengar istilah logik hati ini. Hari ini dalam sejarah gamaknya. Aku tersenyum.

"Logik hati ni bagaimana pula?" aku bertanya.

"Logik hati ini unik. Aku tidak mahu memberikan jawapannya sekarang. Logik hati untuk orang yang mencari. Maka sila mulakan pencarian anda."

"Aiseh...Mr. X. Ini tidak kira mencari ke?" cuba mengumpan.

Mr. X tersenyum.

Logik hati...

Logik hati...

Hati sememangnya satu organ yang cukup unik. Andai kereta perlukan enjin, maka manusia perlukan hati. Buta hati, baik hati, murah hati, gelap hati, hati-hati. Semuanya hati.

Pesan ulama', jika kita ingin mengubah dunia, maka ubahlah manusia. Dan jika ingin mengubah manusia, ubahlah hatinya.

Maka marilah kita semua menyucikan hati ini.

Juga....

Mencari logik hati... ^_^



Kata Nabi saw :

البر حسن الخلق، والإثم ما حاك في صدرك وكرهت أن يطلع عليه الناس

Maksudnya : Kebaikan itu ialah akhlak yang baik, dan dosa itu ialah apa yang membuatkan hati kamu tidak tenteram dan kamu membenci jika manusia melihatnya. [ Riwayat Muslim ; 2553 ]

#Apakah yang dimaksudkan dengan logik hati tersebut?
Sama-samalah kita mencari jawapannya. Tepuk dada tanya iman. :)

Friday, November 26, 2010

Dua Gelas, Rumah Roboh Dan Al-Quran

Suka baca buku ni. :)

Dari Ibnu Abbas r.a, Rasullullah s.a.w ada bersabda : 

"Sesungguhnya orang yang tiada di dalam hatinya sesuatu daripada al-Quran seperti rumah yang roboh." Riwayat at-Tirmidzi.

Alhamdulillah, beruntunglah bagi orang beriman yang menjadikan al-Quran itu sebagai isi hatinya, menjadi hiasan peribadinya dan undang-undang dalam kehidupannya. Ketika menyebut hadis di atas, Dr. Radwan Jamal (seorang pensyarah UIAM) dalam sebuah kuliahnya telah mengutarakan soalan kepada kami tentang apa yang dimaksudkan dengan 'al-bait al-kharib' dan 'al-Jauf' di dalam hadis tersebut.

'Bait al-kharib 'ialah rumah yang roboh, ia diumpamakan juga seperti rumah yang ditinggalkan. Bayangkanlah apa yang menghuni di dalam rumah yang dibiarkan kosong? Ya, sarang labah-labah, semak-samun, keadaan yang tidak terurus, kotor dan sebagainya. Berbeza bukan dengan rumah yang dihuni? Adapun 'al-Jauf 'membawa maksud 'hati.'

Begitulah hati manusia. Hati yang kosong dengan al-Quran diibaratkan seperti rumah usang yang roboh. Tiada apa lagi yang mengukuhkan sebab atau untuk menggalakkannya terus hidup. Justeru tidak mustahil jika harapan kepada Allah dalam kehidupan juga telah hilang dimakan keusangan hati.

Dua Gelas Berbeza

Dr. Radwan Jamal juga ada memberikan contoh dua gelas yang berbeza. Satunya terisi dengan air dan satu lagi yang dibiarkan kosong. Beliau bertanya, adakah gelas yang kosong itu akan berterusan kosong atau akan masuk ke dalamnya pelbagai unsur; sama ada unsur baik ataupun unsur yang buruk?

Begitulah ibaratnya keadaan dua hati manusia!

Hati manusia yang terisi dengan al-Quran seperti gelas yang terisi air. Sejuk hati dan tenang sentiasa. Bila diuji mudah sahaja kembali kepada Allah kerana tautan hatinya berdasarkan kalam Allah. Lantas keyakinannya hanya diletakkan kepada penciptanya.

Namun, hati yang tiada terisi dengan apa-apa akan terbiar dan dibiarkan kosong. Jika tidak terisi dengan mahmudah (sifat yang positif), yang terisi nanti hanyalah penyakit-penyakit hati seperti hasad dengki, dendam, benci dan sebagainya.

Alhamdulillah, begitulah beliau mengajar kami untuk mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran setiap kali mendapat ilmu baru. Sebagaimana beliau yang selalu mengingatkan kami untuk tidak lupa menjawab dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. 

Friday, November 12, 2010

Bisikan Nurani (in-team)

Lautan kematian ombak, 
Tenang pantai tiada terusik,
Begitu tasik hatiku sejak kehadiranmu.

Betapa aku hargai,
Anugerah syurga di dunia,
Doa kudus aku panjatkan,
Semoga dirahmati...Ya Allah...

Telahpun kusyukuri di dalam hidup ini,
Cinta suci kurniaan Ilahi...

Kejernihan wajahmu,
Sempurna pada pandanganku,
Kau kirana.

Keturunan terpilih,
Disanjung serta dihormati,
Kau Permata.

Kesederhanaanmu,
Mengejar kekayaan dunia,
Kau mestika.

Ketaqwaan dirimu,
Itu yang merantai jiwaku...

Bukan aku memuji,
Apalagi memuja,
Salahkahku kagumi?
Perhiasan duniawi.

Bisikan nuraniku,
Engkaulah pilihanku,
Akanku pertahankan,
Amanah suci ini...

Lirik lagu ini menceritakan tentang ciri-ciri wanita yang solehah. Lirik lagu ini juga berkait rapat dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud :

"Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".



#A question to ponder to all muslimat. Sudah solehahkah kita?
Ingatlah an-nisa'! Dunia ini adalah perhiasan dan seindah-indah perhiasan ialah wanita solehah. 
Sama-sama kita muhasabah diri ye. Teruskan usaha perbaiki diri ke arah menjadi muslimah yang lebih baik. :)

Wednesday, November 10, 2010

Tiada Kekuatan Selain ALLAH ^_^

"Lahaula Wala Quwwata Illa Billah Hil Aliyil 'Azim."

"Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia."

Berzikirlah selalu kerana ia adalah salah satu cara untuk kita menghubungkan diri kita dengan Allah, disamping itu, cara ini jugalah yang akan menjadikan hati manusia lembut. Sedangkan Saidina Umar (r.a.) memeluk islam dengan mendengar adiknya sendiri berzikir (membaca surah Taha), padahal sebelum ini, beliaulah seorang yang paling kuat menentang ajaran agama islam yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w).

Walaupun hanya sebaris ayat, tetapi jika dihayati sedalam-dalamnya, ia akan memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan. Sesungguhnya manusia ini semuanya lemah. Tidak berkuasa. Dan yang berkuasa pun, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah (s.w.t).

Malahan kuasa tersebut dikurniakan oleh Allah (s.w.t), bukan untuk kita kufur kepada-Nya, tetapi untuk kita lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Selemah-lemah manusia, tidak berdaya untuk berbuat apa-apa, kecuali dengan kehendak Allah semata-mata. Jika Allah tidak mahu ia berlaku, ia mustahil akan berlaku. Tetapi apabila Allah (s.w.t) menyebut 'Kun', maka 'Yakun' lah apa yang dikehendaki-Nya.

Oleh itu, apa-apa pun perbuatan yang kita lakukan ataupun hendak kita lakukan, mestilah bersandarkan konsep zikir ini. Malahan, ayat ini juga boleh menjadikan motivasi untuk kita mencapai kejayaan. Tetapi mestilah disertakan dengan usaha yang bersungguh. InsyaAllah, walaupun kita rasa mustahil akan berlaku, ia akan berlaku.

Jadikanlah zikir ini sebagai nyanyian mulut kita setiap hari, terutamanya dikala waktu kesusahan menimpa diri. Kerana apabila manusia terus-menerus mengingati Allah (s.w.t.) sewaktu dalam kesusahan, maka mereka tidak akan sekali-kali berputus asa, kerana mereka yakin atas apa yang Allah takdirkan.

*Sama-samalah kita menggunakan zikir-zikir dan ayat-ayat al-Quran sebagai motivasi kita dalam kehidupan.:)

Tuesday, November 9, 2010

30 Kelebihan Selawat ke atas Nabi S.A.W.


1. Sabda Rasullah saw: Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda (Hadis Riwayat Muslim.)

2. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardhu.

3. Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insyaAllah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.

4. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. InsyaAllah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

5. Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

6. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

7. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.

8. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.

9. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki dan sebagainya dalam dirinya.

10. Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, insya-Allah akan beroleh kebahagiaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

11. Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardhu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.

12. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

13. Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaan-Nya.

14. Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.

15. Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

16. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

17. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

18. Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

19. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.

20. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.

21. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

22. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, insyaAllah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.

23. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

24. Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmat-Nya.

25. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya-Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

26. Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.

27. Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

28. Para Ulama berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

29. Sabda Nabi saw: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya “ Hadis Riwayat Abu Naim.

30. Sabda Nabi saw: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat “ Hadis Riwayat Thabrani.

Demikianlah betapa banyaknya ganjaran bagi orang-orang yang berselawat. Oleh itu, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat, insya-Allah.:)


Nak hilangkan stress study???

Jom perbanyakkn selawat kwn2.! Allahumma solli 'ala Muhammad :)

Semoga kita semua memperoleh keberkatan daripadaNya..;)