Saturday, August 31, 2013

All the best my dear sista!


Alhamdulillah selamat tiba di teratak kesayangan setelah hampir 2 jam memandu tanpa henti. Penat juga jadi driver. Huuu~ 
Tapi bila tengok wajah-wajah kesayangan hati terus hilang penat. Alhamdulillah ya Allah atas kurniaan keluarga yang menenangkan hati ini.

Pabila bahagia dan gembira bersama yang tersayang, jangan dilupakan pula Yang Tersayang. 

Seringkali bila diberi nikmat, kita lupa pada Pemberi nikmat. Bila bahagia, kita lupa pada Pencipta Kebahagiaan. Ketika jatuh cinta, kita lupa memulangkan cinta kepada Dia yang telah menumbuhkan rasa itu. 

Ingatilah Dia dikala senang, nescaya Dia mengingati kita dikala susah. Ingatilah Dia ketika bersendirian dan dalam keramaian, nescaya Dia mengingati kita ketika tiadanya ingatan dari makhluq lain kepada kita. 

Ya Allah, jangan jadikan keluarga kami, sahabat-sahabat kami serta orang-orang yang kami sayang sebagai ujian yang melalaikan kami dari mengingatiMu, tetapi bahkan menambahkan kesyukuran dan pergantungan kami kepadaMu ketika berinteraksi dengan mereka. Dalam keramaian bersama dengan makhluqMu, semoga hati kami terus akrab denganMu Tuhan! Amin~ 

‪*Kerana aku ingin mencintaiMu lebih dari segala-galanya, dan aku ingin mencintai mereka hanya keranaMu... 


Entri kali ni sebenarnya ditulis khas buat adik tersayang, Nur Nisrin Nabihah. Lepas ni adik dah nak sambung degree, alam belajar yang lebih mencabar pastinya. 

Adik yang nak masuk U, tapi kakak pulak yang berdebar-debar. 

MashaAllah, my little sister has grown up so quickly!

Dear sis, jaga diri baik-baik ye kat USIM tu. It's gonna be a new and exciting journey there. Manfaatkan setiap peluang yang ada, bina diri semaksima mungkin. Aim high, don't lose focus, yet enjoy your university life.

You gonna succeed and be someone awesome in the future, inshaaAllah! When you feel alone, remember that Allah is always by your side ukhti habibtee. Siiru ala barakatillah. =)

*Nanti mesti rindu nak story-mory dengan adik. Tapi takpe la, walaupun jauh di mata tetap dekat di hati. ^^ 

Tuesday, August 20, 2013

My Superhero

Sentuhanmu -inteam-

Terpanar aku pada sentuhan keramatmu
Mengheret aku mentafsir memori silammu
Dulu ku ragu apa terbungkam dibenakmu
Kini ku tahu apa yang terbuku di hatimu

Surut dedarku pada usapan manteramu
Tunduk ungkalku pada ketegasan dirimu
Terpasak semangat pada keyakinan tekadmu
Keakuranku pada tunjuk dan titah arahanmu

Oh ayah, tak pernah ku tanya
Kemana tumpahnya keringatmu
Oh ayah, tak pernah ku hitung 
Berapa banyak kerutan di dahimu

Yang ku pinta hanyalah kemahuan hatiku
Yang sedaya ayah laksanakan

Kau pendorong bukanlah pendesak 
Apalagi memaksa diriku
Aku terlorong bukan terdesak 
Apalagi rasa terdera

Tak terkuis dugaan menduga
Apalagi takdir yang menerpa 
Aku mengharap bukan menolak
Apalagi cuba melupa

Lestari kasihmu tanpa batasan 
Sempadan waktu yang memisahkan
Abadi hingga ke hujung usia akhiran masa

Sentuhanmu amat bermakna..

My Superhero > Abah 

Dalam kehidupan seorang anak, ada sekurang-kurangnya 2 orang insan yang mempengaruhi dan membawa impak yang besar dalam hidupnya - ibu dan ayah.

Ayah adalah 'penghibur' pertama tatkala kita dilahirkan, membisikkan kita dengan alunan suci azan dan iqamat. Ayah terus menjadi penghibur setia sewaktu kita kecil, melayani tiap karenah dan keletah dengan hati yang berbunga.

Apabila menginjak dewasa, ayah terus sabar membesarkan kita, mendidik dengan hikmah dan menegur dengan bijaksana. Ayahlah pelindung kita, pencari sumber rezeki untuk keluarga, tetap setia membanting tulang demi yang tercinta.

Ayah sumber inspirasi dan kekuatan, yang sentiasa membisikkan kata-kata perangsang, yang mempercayai diri kita dan mengatakan kita sentiasa mampu dan boleh!

19 Ogos 2013 - Selamat Hari Lahir yang ke-55 buat ayahanda tercinta, Haji Ab Halim Fauzi Bin Che Lah. Semoga abah dipanjangkan umur dalam ketaatan kepadaNya dan dimurahkan rezeki yang halal. Terima kasih abah di atas segala kasih sayang, jasa dan bakti abah buat ummi, abang-abang, kakak dan adik-adik selama ini. Semoga Allah memelihara, merahmati dan meredhai abah di dunia dan di akhirat. Semoga Allah membalas segala kebaikan abah dengan syurgaNya kelak. Amin~

Kakak sayang abah kerana Allah. You'll always remain as a hero in my heart. Barakallahu fika ya abah.

Sungguhpun bagi sesetengah orang, hari ulangtahun kelahiran ibu bapa mereka hanya sekadar tarikh keramat yang ditanda di kalendar saban tahun, namun bagi saya ianya lebih daripada itu. Walaupun sibuk dengan praktikum, tapi tetap cari masa untuk ucap selamat kepada abah sempena ulang tahun kelahirannya. Walau hanya sekadar mesej, namun ia berbaloi sekiranya dapat menguntumkan senyuman di wajah orang yang kita sayang. =)

Tadi usai hantar mesej 'bunga-bunga' kat abah dapat balasan nasihat dan doa dari abah. Kata abah, "Amin. Terima kasih atas doa anakanda yang disayangi. Alhamdulillah abah dikurniakan anak yang solehah dan insyaAllah bakal menjadi isteri yang solehah juga".

Allah..Allah..Allah.. Terharu baca mesej abah. Tinggi sangat penghargaan yang diberikan. Rasanya masih banyak tanggungjawab sebagai anak yang belum kakak tunaikan. InshaaAllah kakak akan cuba semampu yang mungkin untuk jadi solehah. Terima kasih abah atas penghargaan dan doa yang tidak putus-putus buat anakmu ini. Redhailah kakak kerana sesungguhnya redha Allah terletak pada redha kedua ibubapa.

p/s : Sweet kan abah saya? Nanti nak cari encik suami macam abah la, heeeee.

Sunday, August 18, 2013

Fitrah yang menyuntik motivasi



Fitrah itu mampu mencampak anda setinggi langit!


"Saya nak tanya sikit. macam mana nak tangani perasaan nak bercinta ni ye. Kahwin lambat lagi, mak saya kata tunggu habis belajar. Saya pun tak fikir pasal kahwin, tapi perasaan ni datang.”

Seorang sahabat berpangkat adik mengadu rasa baru-baru ini. Saya berfikir sejenak. Soal fitrah, bukan boleh disekat. Itu respon pertama saya.

Sebenarnya, ramai remaja keliru tika didatangi perasaan tersebut. Sebahagian mereka menyalahkan diri sendiri dan berusaha mencampakkan fitrah tersebut jauh-jauh. Fitrah yang mengusik jiwa itu dianggap sebagai parasit yang bisa ‘merosakkan’ cita-cita dan masa depan. Saya kurang bersetuju.
Lalu saya rumuskan satu panduan kepada sahabat tersebut. Soal fitrah sukakan berlainan jantina, itu normal. Hadirnya waktu ini, juga suatu yang normal. Yang tidak normal, sukakan sesama jantina. Maka, usah hukum diri sendiri sebaliknya ambillah perasaan tersebut sebagai motivasi.

Ketika anda didatangi perasaan tersebut, anda bayangkan perkahwinan sebagai suatu yang berbaur mustahil. Ini silap. Jangan anggap perkahwinan itu sebagai ‘terlampau jauh’ sehingga anda tidak mahu memikirkannya. Perkahwinan itu soal jodoh, ia kerja mutlak Sang Penguasa ; Allah. Sebagai manusia yang beriman dengan takdir tersebut, kita jahil tentang bila masanya dan siapa orangnya. Maka apa yang ada pada kita adalah usaha. Dan usaha itu, perlu dimulakan dari sekarang.

Dengan hadirnya perasaan bernama fitrah itu, ubahlah diri dan pemikiran anda untuk maju setapak. Anda bakal bergelar pemimpin kepada sebuah keluarga. Anda bakal naik ke jawatan suami melalui AGM yang dipengerusikan Tok Kadi. Itu suatu benda yang besar. Maka, benda sebesar itu perlukan persiapan dari sekarang. Tak kanlah rancangan kahwin nanti habis belajar, maka berfikir dan bersedia ke arah perkahwinan baru akan bermula selepas habis belajar?

Tidak. Segalanya bermula di sini dan hari ini. Tingkatkan pengetahuan dan bahan bacaan. Ubah personaliti diri. Bina daya kepimpinan. Maju setapak ke depan dengan berusaha keras menjadi seorang pemuda yang matang. Di samping pengajian di bilik kuliah, pengajian sampingan ke arah Bait Muslim itu perlu turut sama digiatkan.

Sedar atau tidak, anda sedang bergerak ke arah perkahwinan yang cemerlang. Melalui apa? Melalui tindakan bijak anda meraikan fitrah. Bukan hanyut dalam arus fitnah. Anda tidak akan menjadi seorang yang kuat berangan, leka bermain cinta, termenung siang malam dan hilang fokus pada pelajaran. Semuanya kerana sebuah fitrah yang menyuntik motivasi.

GANGGUAN?

Kita perlu mengubah minda dan tanggapan kita pada hal ehwal cinta, jodoh dan perkahwinan.

Kalau kita aktif dengan kerja dakwah di kampus, jangan jadikan rak buku kita hanya penuh dengan buku-buku gerakan dakwah tarbiyah semata-mata. Isikan juga dengan bahan bacaan tentang Baitul Muslim. Petua membina rumahtangga bahagia, panduan menangani konflik rumahtangga, pengurusan ekonomi keluarga, persoalan haid, nifas dan istihadhah, kesemuanya adalah bacaan wajib bagi anda. Kenapa perlu ada diskriminasi?

Ramai orang beranggapan semua perkara berkaitan rumahtangga sewaktu di alam belajar, adalah gangguan kepada pelajaran. Ini silap. Pemikiran sebegini cenderung menjadikan remaja lambat matang dan tidak berjiwa besar. Mereka seolah ‘dilalaikan’ dengan pembelajaran bersijil semata-mata, tanpa dititikberatkan nilai tambah yang lain. Pada mereka, perkahwinan itu lambat lagi. Sekarang fikir belajar dahulu.

Maka ketika didatangi fitrah dan perasaan inginkan teman hidup, mereka mula menggelabah. Terdesak kerana tidak nampak jalan yang ‘halal’, maka perhubungan jalan belakang menjadi pilihan. Mak ayah tidak tahu dan pembelajaran juga dianggap ‘selamat’. Mabuklah mereka dengan ucapan-ucapan kasih, rindu dan sayang. Lekalah mereka dengan keluar berduaan yang akhirnya menjebakkan diri mereka ke kancah nafsu yang hina lagi menghinakan.

Dalam masa yang sama, adakah soal menjadi pemimpin kepada keluarga, membina keluarga bahagia dan menuju perkahwinan yang cemerlang menjadi tumpuan dan fokus utama? Tidak. Mereka hanya leka bermain cinta, sedikit pun tiada suntikan motivasi.
Sebahagian besarnya tewas di tengah jalan, lantas menanggung penyesalan yang tidak berkesudahan.

MULIA

Ingatlah teman. Fitrah itu tidak pernah menjadikan anda hina. Fitrah itu secara dasarnya bertujuan untuk memuliakan anda sebagai anak adam.

Firman Allah ta’ala : ” Dan sesungguhnya telah kami muliakan Bani Adam..”

Tilik kembali ke dalam diri anda. Jika perkahwinan itu masih jauh dari perancangan anda, saya tidak mengajak anda supaya menjadikannya lebih cepat. Saya cuma mengajak anda mengubah cara fikir, dengan menjadikan perkahwinan itu sebagai suatu yang sedang mampir. Bererti, anda sedang menuju ke arahnya.
Maka, jika anda sedar hakikat tersebut, anda akan terus berusaha dari sekarang.
Contoh : 3 tahun lagi untuk berkahwin. Maka dalam buku perancangan anda, segera ditulis. Tahun pertama, ingin hadam buku motivasi berkaitan nilai komunikasi positif dalam rumahtangga. Juga buku penting berjudul ‘Men Are From Mars, Women Are From Venus’. Tahun kedua pula, kajian tentang pengurusan ekonomi keluarga beserta elemen tarbiyah asas suami dan isteri. Tahun ketiga pula, kitab Tarbiyatul Awlad (Pendidikan Anak-anak) akan diperhalusi dengan teliti.

Must read!!

Melihat kembali apa yang anda tulis, anda akan dapati bahawa masa yang anda ada sangat singkat!
Tidak ada banyak masa untuk masih leka dengan dunia ‘ulala’ budak-budak muda. Tidak banyak masa untuk membaca komik dan bermain games. Tidak ada banyak masa untuk mengorat si Timah dan si Minah. Tidak ada banyak masa untuk melayan perasaan syok kepada pelakon drama Korea!

MOTIVASI

Percayalah, anda akan berubah menjadi seorang yang penuh dengan motivasi dan ‘mimpi-mimpi’ yang bersedia untuk dijadikan realiti. Anda beruntung jika masih muda dan perkahwinan masih jauh dalam perancangan anda, kerana anda akan punya banyak masa untuk bersedia.
Jika anda sedar dan faham apa yang cuba saya sampaikan dalam entri ini, maka jangan ragu-ragu untuk berubah.

Asingkan diri anda dari kehidupan ‘biasa’ orang-orang bujang, kepada kehidupan ‘luar biasa’ orang-orang bujang.
Anda akan menjadi orang bujang yang rajin, kemas, matang dan positif sebagai ganti kepada orang bujang yang pemalas, selekeh, kebudak-budakan dan negatif.
InsyaAllah, jika anda sanggup mengambil fitrah itu sebagai Motivasi.

Sekian.

Sabar menunggu waktu yang tepat. Yok, sama-sama persiapkan diri ke arah pembinaan bait muslim yang cemerlang :)

Wednesday, August 14, 2013

Pray 4 Egypt :'(

Pray 4 Egypt
Mereka diuji sebegitu dahsyat. Saudara mara entah ke mana, dibunuh tiba-tiba. Jangan kata buku medik tak sempat habis baca, entah tercampak ke mana sebab serangan yang tiba-tiba.

Dan mereka juga seperti kamu.

Kawan-kawan di Mesir bersabarlah, dengan ujian yang Allah beri sangat sedikit ini.


Exam dipostpone.
Kelas ditangguh.
Jadual bertukar-tukar.
Grad delayed.

Bersabarlah. Kalau kamu katakan al-Haq itu harus ditegakkan, maka tegakkanlah al-Haq dalam dirimu. Kalau kamu katakan kamu pedulikan ummat, takkan dah melatah bila terkena sesuatu pada diri sendiri.

Bersabarlah. Semoga Allah kurniakan hikmah besar atas kesabaranmu. Sebagaimana Dia kurniakan kepada Ibrahim yang tak pernah tahu Ismail akan ditukar dengan kibas, dan Ibrahim tetap menjalankan ketetapan Allah.

Dan pada Nuh, saat Allah perintahkan agar dibina kapal besar sedangkan Nuh tak pernah tahu yang akan berlakunya banjir besar dan kapal tersebut yang akan menyelamatkan orang-orang beriman. Namun, Nuh tetap melakukannya.

Dan pada Musa saat Allah perintahkan supaya memukul tongkatnya ke arah laut dan Musa tak pernah tahu yang laut itu akan terbelah selepas itu. Namun, Musa tetap melaksanakan perintah Allah.

Ya, semuanya seolah-olah ketetapan tak logik dan tak ada harapan. Kita takkan pernah tahu apa yang Allah rencanakan. Yakinlah denganNya dan terus minta pertolonganNya dengan sabar dan solat. 

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

Ertinya: “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'.
(QS. al-Baqarah : 45)

Inilah istimewanya antum, yang Allah pilih menjadi pelajar di Mesir. Untuk dididik dengan kesabaran yang sangat luar biasa ini.

Moga antum Allah kurniakan najah atas kesabaran itu. Amin ya Robb~
Credit > ukhti Amira Safar


Ya Allah, kau hancurkanlah al-Sisi dan bala tenteranya yang mencabar rakyatnya, al-Sisi bughah kepada pemimpinnya yang sah Dr. Morsi. Kau muliakanlah rakyat Mesir yang terkorban kerana mempertahankan hak dan menentang kezaliman. Aku tiada ragu pada janjiMu ya Allah.


وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتٌ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَكِنْ لَا تَشْعُرُونَ

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya."
(QS. al-Baqarah : 154)

Ayuh seluruh umat Islam, sama-sama kirimkan doa buat saudara mara seaqidah kita di Mesir, Syria dan Palestin!

* Ya Allah lembutkan hati kami jua, jadikan kami turut sama sensitif dengan penderitaan mereka di sana. Ya Allah, sesungguhnya hati yang mati dan tidak peka itulah kesengsaraan dan penderitaan yang sebenar! :(

Tuesday, August 13, 2013

Panjang atau Berkat Umur?

Setiap kali tiba hari lahir seseorang, maka ungkapan biasa yang akan dilafazkan adalah, "Selamat hari lahir, semoga panjang umur dan murah rezeki". Tapi jarang sekali kita memperincikan doa tersebut bukan?

"Dan sungguh, engkau (Muhammad) akan mendapati mereka (orang-orang Yahudi), manusia paling tamak akan kehidupan (dunia), bahkan (lebih tamak) dari orang-orang musyrik. Masing-masing dari mereka, ingin diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu tidak akan menjauhkan mereka dari azab. Dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan" [Al-Baqarah: 96]

Ya, apalah ertinya umur yang panjang, kehidupan yang lama di dunia ini, andai sedikit pun tidak dapat menambahkan bekal amal kita untuk kehidupan di akhirat kelak.

Manusia sering meminta agar dipanjangkan umur mereka, namun terkadang mereka lupa untuk memohon keberkatan umur dan supaya dipanjangkannya dalam ketaatan, agar dapat terus bernafas sebagai hamba yang diredhai. Apalah gunanya umur yang panjang, tetapi hanya berterusan bergelumang dalam noda dan dosa, terus-terusan menjadi hambaNya yang ingkar, waliyaudzubillah min zalik.

Maka, keberkatan dalam usia itu yang lebih layak untuk kita pohon padaNya. Berkat itu bukanlah semata-mata diukur melalui panjangnya hayat kita di dunia, tetapi sejauh mana ia dapat dipergunakan ke jalan yang mampu membawa manfaat hingga ke akhirat. Lupakah kita dengan ulama'-ulama' silam, dan para solihin? Umur mereka jarang yang ada hingga mencecah 50 atau 60 tahun, tetapi sumbangan mereka buat Islam, subhanallah, masih dapat dirasai sehingga kini.

Allah, semoga nikmat umur yang Engkau kurniakan kepada kami ini, dipenuhi dengan peluang untuk menambah amal soleh dan digunakan untuk menadah ilmuMu, agar dapat meraih cinta dan redhaMu yang diimpikan.

So the next time you wanna wish for someone's birthday, apa kata tambahkan sedikit di hujung ucapan itu, "Semoga dipanjangkan umur dalam ketaatan padaNya"

Alhamdulillah untuk anugerah hari ini. Semoga hari mendatang lebih baik dan berkah. InshaaAllah :)

14 Ogos 2013 > Sanah helwah yg ke-25 abe. Semoga panjang umur dalam ketaatan padaNya. :)

Kahwin Muda???

Kalau dulu rasa cemburu dan tergugat juga bila dapat jemputan walimah dari rakan-rakan, tapi sekarang dah tak rasa apa dah, malah tumpang gembira, cuma agak terkilan bila tak dapat turut sama meraikan hari bahagia sahabat. Walau apa pun doaku sentiasa mengiringi langkahmu sahabat. Semoga bahtera rumahtangga yang dibina berkekalan hingga ke syurgaNya. Amin~

Prioriti setiap orang berbeza-beza : Ada yang menikah di usia muda, dan keadaan itu baik baginya kerana kesediaan dari segi rohani, emosi dan fizikalnya sudah mencukupi. Tetapi ada yang memerlukan masa yang lebih lama, untuk menyediakan diri dan melunaskan tanggungjawab-tanggungjawab lain sebelum dibebankan dengan tanggungjawab baru yang lebih berat.

Allah lebih tahu yang terbaik untuk hambaNya, jadi usah cemburu dengan keadaan insan lain, tetapi berusahalah untuk mencorak kehidupan yang terbaik di dunia dan akhirat dengan usaha, doa dan tawakkal.


Apa-apa pun, semoga kita semua sentiasa ingat bahawa jodoh dengan manusia di dunia ini belum pasti, namun jodoh dengan kematian dan pertemuan dengan Allah adalah pasti. Cinta manusia itu wasilah, cinta Allah itu matlamat.

Semoga kita tetap teguh beramal untuk dijadikan bekal bertemu denganNya kelak, in shaa Allah. :)


Kau Pemilik Cinta 

Oh pemilik cinta
Betapa dapatku rasa
Indahnya bahagia yang mendakap jiwa
Dalam kesepianku Kau hadirkan dirinya 
Peneman menuju syurga...

Oh pemilik hati
Sungguh kau Maha mengerti
Lemah diri ini hidup bersendiri
Dirinya seperti cahaya yang menyinari
Indahnya bak bidadari.

Semua persoalan bertemu jawapan
Tiada lagi kebuntuan mengganggu fikiran
Kesyukuran ini melimpah di hati
Betapa agungnya kasihMu Ilahi...

Oh pemilik hati
Betapa dapatku rasa
Indahnya bahagia yang mendakap jiwa
Dalam kesepianku Kau hadirkan dirinya 
Peneman menuju syurga...

Benar ku akui
Jarang ku lafazkan
Kata-kata penghargaan atas pengorbanan
Namun hanya Engkau Maha Mengetahui
Betapa dirinya amat ku hargai...

Kekasih...
Kau penawar duka
Menjadi penguat dijiwa
Walaupun bertalu diuji
Dirimu tetap setia disisi.

Oh Tuhan...
Kau yang Maha Tahu
Cintaku padanya tak pernah ku ragu
Ku pinta kekalkan cintaku
Hanya bersamanya di syurgaMu...

Majlis akad nikah abang. Semoga ikatan yang terjalin berkekalan hingga ke syurgaNya. Barakallahulakum.

Thursday, August 8, 2013

Raya Aidilfitri 1434H~

In the name of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful.

Alhamdulillah, masih dipanjangkan umur untuk menyambut lebaran pada tahun ini. Entry kali ni nak cerita sikit pasal aktiviti raya tahun ni. Pagi tadi, selesai je solat sunat hari raya kat surau semua berkumpul di rumah untuk sesi bersalam-salaman dengan ummi dan abah. Yang ni memang aktiviti wajib la tiap-tiap tahun. Paling seronok bila abah dan ummi bagi duit raya. wink *_~


Dah habis sesi minta maaf dengan ummi dan abah, kami semua keluar beraya. Rumah pertama yang diziarah, rumah Tok Wan Hamzah @ jiran depan rumah. :) Macam biasa pelbagai jenis makanan dihidangkan. Nak2 bila tengok rombongan kami yang ramai ni, 8 lelaki + 5 perempuan = 13. ^^ Tak sempat masuk rumah lagi anak tok wan dah amik gambar kami. Excited sangat kot tengok ramai-ramai pakai baju warna sama. ^_^

Selesai raya rumah tok wan, terus bertolak balik kampung abah kat Pulau Gajah, Sabak. Kampung abah dekat je, dalam 15-20 minit perjalanan dah sampai. Tiba di rumah nenek, kami semua terus ke kubur. Datuk dan nenek dua-dua dah takde. Di hari raya yang mulia ini hanya doa yang dapat kami kirimkan. Semoga che dan mok ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan semoga kita dapat berkumpul lagi di syurga kelak. InshaaAllah. Al-fatihah buat che dan mok.

Next, beraya di rumah saudara-mara sebelah abah. Rumah pertama yang dituju, moksu & ayah su's house. Salam-salam makan-makan dan borak-borak kejap, then terus gerak ke rumah ayah Leh. Sampai je, saya dan adik terus pergi ke sungai belakang rumah. Suka sangat bergambar kat situ. Tapi raya kali ni kami posing berdua je la. Yang lain semangat sangat nak makan nasi kerabu, terus naik rumah ayah Leh.

Hero-hero yang semangat beraya. :)
Lebih kurang pukul 1, kami bergerak ke kampung ummi di Kampung Laut, Tumpat. Alhamdulillah, perjalanan kami dipermudahkan. Sejam kemudian dah sampai kampung ummi. Memandangkan datuk dan nenek dah takde, jadi rumah pakcik2 dan makcik2 la yang diziarah. 1st, beraya kat rumah abang sulung ummi, pak cik Him. Semua anak-anak pak cik Him ada kecuali kak long. Biasa la orang dah kawin, kena gilir-gilir. ;) Next, rumah mak cik Sah, rumah ayah Mad dan akhir sekali rumah ayah Ya. Seronok sangat tiap kali raya. Dapat jumpa saudara-mara yang dah lama tak jumpa. Semua dah makin hensem dan cantik. 


Gwiyomi raya.
Penutup, beraya rumah sepupu kat geting. Jauh perjalanan, luas pemandangan. ^^ Memang sedap sangat menu raya kat rumah sepupu ni, sebab lain dari yang lain. Ada laksa penang & klate, bihun sup, sate dan nasi himpit. Paling best bila makan bihun sup. Rasa nak tambah je bila makan, tapi apakan daya perut dah penuh. Rumah terakhir dah kan. ;) 


Panjang entry kali ni, semangat sangat bercerita. Raya tahun depan inshaaAllah bertambah sorang lagi AHF's Family. Panjang umur boleh la corat-coret tentang majlis walimah abang long pula. inshaaAllah~ :)

Dalam keriangan kita menyambut lebaran, jangan dilupakan para mujahideen yang sedang berjuang di Syria, Palestin dan lain-lain tempat. Terus tembak doa untuk mereka. Semoga kemenangan akan berpihak kepada Islam. Allahummansuril mujahideen fi kulli makan. Amin ya Robb.

Wednesday, August 7, 2013

Ramadhan berlalu, Syawal bertamu...


Ku lihat Ramadhan dari kejauhan, lalu ku sapa ia.

"Hendak kemana?".

Dengan lembut ia berkata,

"Maaf, aku harus pergi. Mungkin lama. Tolong sampaikan pesanku untuk orang yang bernama Mukmin, ajaklah Sabar untuk menemani hari-hari dukanya, peluklah Istiqamah saat dia kelelahan dalam perjalanan Taqwa".

Itupun Syawal!!! Ia sudah tiba. Ku lihat Ramadhan pergi. Jauh.....

*Ya Allah, apakah Ramadhan akan kami temui lagi? Semoga ini bukan Ramadhan terakhir buat kami. Amin ya Robb. 



Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Kullu 'Am wa Antum Bikhoir. Taqabbal Allahu Minna wa Minkum Min Solihil A'mal. :')

Tuesday, August 6, 2013

Report Card University Ramadhan

"Weh, nama kau tu!" tiba-tiba sikunya ditolak.

"Ha??"Hilang rasa mengantuknya akibat menunggu lama.

Kemudian dia mendengar kuat suara memanggil namanya dari hadapan. Entah ke berapa kali. Gelagapan dia bangun dan tergesa berjalan ke hadapan dewan.
"CGPA awak yang tahun lepas awak bawa ke tahun ini? Bila baru boleh naik tahun ni? Dari dahulu sampai sekarang, sama.. sahaja! Umur awak berapa?" tanpa mukaddimah dia disergah begitu. Kesedaran dari tidur yang tadi hanya lima puluh-lima puluh melonjak ke seratus 20 peratus.

"Dd..dua puluh tahun"dia menjawab juga tergagap-gagap.

"21 tahun, bukan??"

"Ya.. dua puluh satu tahun" dia membenarkan. Lupa pula, baru dua bulan lepas dia menyambut ulang tahun kelahiran. Lupa dirinya sudah tua.

"Awak akil baligh umur berapa?"

"Er.." malu dia tiba-tiba dengan soalan sensitif itu. Sekejap, ada kaitankah dengan situasi sekarang?

"Umur berapa? Yang awak garu kepala tu, kenapa?Takkan tak ingat?" suara itu terus naik frekuensinya, terangkat bahunya lantaran terkejut.

"13 tahun!" terlepas jawapannya kerana disentak.

"Dalam 9 tahun, hanya ini pencapaian yang awak boleh beri?!" buku di tangan dibelek kasar. Dia terkebl-kebil menanggapi pencapaiannya yang tidak sukar diterka daripada reaksi manusia di hadapannya.

"Kalau beginilah pencapaian awak, awak ini sama sahaja dengan kanak-kanak sekolah tadika. itu, awak lihat sana."

Dia melihat sekumpulan kanak-kanak yang kelihatan ria, dengan sampul duit raya berkejaran di dataran berhampiran.

"Jangan harap awak nak dapat sijil kemenangan. Awak tak boleh grad tahun ini. Ini borang ulang semula pengajian. Dan ambil ni, hanya sijil penyertaan. Juga ini, ambil surat amaran dan peringatan. Beri pada penjaga kamu."

"Er, tak bolehkah, tuan bertimbang rasa sedikit?" dia teragak-agak menutur ayat rayuannya itu. Mencuba nasib.

"Bagaimana?"lelaki itu bertanya

"Universiti ini hanya beri sijil kelulusan untuk mereka yang layak sahaja. kamu rasa dengan laporan pencapaian yang seperti ini, kamu layakkah?"

"Lihat ini, bacaan Al-Qur'an. hanya sampai juzuk 17? Kamu ni membaca atau mengeja?" Suara itu menengking lagi.

'Eh, kira baik apa tu. sahabat aku yang lain lagi teruk, kut' dia membela diri, pastinya di dalam hati sahajalah.

"Dan ini, surah-surah hafalan pun kamu malas mengulangkaji? Juzuk 30 pun tak lepas? Nah, lihat ini, surah Al-Insan yang 31 ayat itu pun, kamu tak lepas? Sepatutnya jika hafaz satu hari satu ayat, sebulan pasti boleh habis!"

"Mari saya sentuh akhlak. Lihat kembali apa yang kamu buat"
Kemudian satu video dimainkan di skrin laptop di hdapan mereka. mujur saja tidak ditayangkan di layar besar dewan itu.

"Apsal tolak-tolak ni? Tak nampak ke orang lain berbaris dari tadi? Mata letak mana, mata?"

"Ss.. sorry, saya nak ambil duit baki saja"

"Hesy!" tanpa meminta maaf, dan memberi maaf dia menjeling dan berlalu.

"Siapa yang pancitkan tayar motor aku ni?? Ada juga yang kena bakar ni!" ditengah-tengah dataran itu dia melaung sendiri. Tayar belakang motor disepak. Tiba-tiba ada kucing menggesel di kakinya

"Ah,kau ni apahal?" Kucing yang tidak bersalah itu disepaknya. Skrin gelap.

Dia menepuk dahi. Dia ingat lagi, peristiwa di bazar, petang Ramadan yang entah ke berapa itu memang menguji kesabaran.Paginya terlepas sahur, sepanjang hari banyak kerja perlu diselesaikan. Dan motornya pula memiih untuk pancit pada masa yang sama. Tapi, bab sepak kucing itu, dia terlupa betul.

"Ah, saya malas benar lihat yang lain-lain, sedekah,, ilmu, solat.."

"sebentar, solat.." Selakan laporan itu terhenti. Ah, apa pula komennya kali ini?

"Solat terawih.. lapan rakaat pun ada hari -hari yang kamu ponteng tanpa alasan syarie. Apa ni?"

"Solat dua puluh rakaat satu hari pun tak pernah? Kamu mengaku pula kamu seorang daie?"

"Saya ada masalah kaki kejang. tuan"

"Kaki kejang, ya. Tapi saya dengar kamu pusing sehingga berjam-jam di Jalan TAR. Mall, tak cukup dengan itu, kamu boleh lagi tawaf Nilai 3 lagi. Masa itu, penyakit kejang kamu tak menyerang pula, ya?"

Dia menunduk malu.

"Saya boleh terima lagi jika kamu berbelanja, tetapi, tak lupa bersedekah. Tapi, kamu ini rupanya kedekut betul, ya?Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan, tak pernah dengar kah hadis ini?"

"Pernah.."dia menjawab perlahan, hampir saja tidak kedengaran.

"Dan lihat ini pula"
Satu tayangan diputarkan. Satu suasana di dewan solat masjid terpampang. Eh, lihat itu, dia kenal benar gerangan yang memasuki masjid dengan beg sandang besar di belakang.

"Itu saya!"

"Ya, memang kamu datang iktikaf, tapi kamu lihat apa yang orang lain buat, dan apa yang kamu buat"

Dia mulanya duduk, membentang bedding mat. Memerhatikan sekeliling. Tiba-tiba dia meraba poketnya. Ah! Samsungnya itu dibelek. Sampai ke sudah satu demi satu laman sosialnya diupdate, kmen dan like. Sehingga dia menguap, dan berbarng. Dia hanya terjaga apabila dikejutkan untuk bersahur!

"Tapi sudah ada niat itu, pahala pun dapat. Lagi pula tugasan dari pensyarah banyak betul perlu disiapkan. Saya rasa letih sangat"

"Itu hanya alasan, dan kamu sudah lupa, hal sebegini juga kamu lakukan pada Ramadan sesi lepas. Kalau 10 malam terakhir pun malas nak bangun, manusia ni merupakan manusia yang tak suka nak berubah jadi baik. Seorang manusia yang terlalu mudah memberi alasan. Orang semacam ini, datangkanlah motivator tersohor, insentif yg berbilion sekalipun, dia takkan berubah. Sebab terlalu mudah memberi alasan untuk berubah."

Rasa seperti mahu menangis sahaja. Tapi semua sudah lepas, dengar sajalah.

"Ini yang paling memalukan, berat badan kamu bertambah? Allah..malu! Saya yang baca pun malu!"

"Cuba kamu lihat sana"

"Kamu fikir umur dia berapa tahun?"

Kanak-kanak berjilbab putih bersih dengan mata bundar jernih yang sedang duduk tidak jauh dari mereka menjadi perhatian.

"Sepuluh, ke, sebelas" rambang dia meneka. Kalau teka betul pun bukan dapat hadiah.

"Salah! Sembilan tahun"

"Kamu cuba lihat buku laporan dia. Ini dia"

Hennah bt Ayyas Arbaq

Dia menyelak santai. tak berminat.

Namun muka hadapan itu sudah ada cop. Graduated from University Ramadhan.

CGPA: 3.87

Grad: First class.

Apa??

Al Qur'an. Finish two times.

Hafazan: 2 juzuk done. 3 juzuk repeated.

Solat: Terawih 29 days. Qiam. Rawatib. Dhuha.

Akhlak: Excellent

Ilm: Tafseer fi zillal, part 29. Done.

"Jika dia dapat score dalam urusan sedekah, pasti dia peroleh 4 flat. Untuk anak yatim sepertinya, saya rasa sudah cukup membanggakan bila dia bersedekah sehari seringgit."

Ya. Tak mahu dengar.

Dia mahu berlalu dan tidak mahu memandang sesiapa. Namun dia ditahan.

"Mari, saya beri free advice"

Oh? tak cukup lagikah?


"Kamu tahu kenapa kita mengejar amalan. Saya bukan mahu melihat seberapa banyak amalan kamu, bukan mahu menilai kuantiti. Tapi kamu mesti ingat, di dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat dan tanpa syaitan ni kita berlawan satu lawan satu dengan nafsu. Amalan itu tidak lain tidak bukan untuk meningkatkan ketaqwaan kita. Ingat ini ya, tanpa taqwa, seorang muslim itu hanya dikenal sekadar tulisan M.U.S.L.I.M." begitu lelaki itu mengeja satu persatu huruf tersebut.

"Tapi dengan taqwa ia perkataan MUSLIM itu menjadi hidup, dan kamu juga hidup di mata Allah, dari situlah kamu dinilai oleh Allah" begitu ayat terakhir yang didengarnya.

Inteam -Iman & Aman-



Finally, album terbaru kumpulan inteam keluar jugak. Dah lama tunggu album baru dari kumpulan nasyid kegemaran ni. Dari kecik lagi memang suka sangat dengar lagu-lagu inteam. Dalam album terbaru ni semua 12 lagu best. Tapi yang paling terkesan, bila dengar lagu Tragedi Taif dan Syafaatmu. Menggamit rindu buat Habiballah Nabi Muhammad s.a.w. Allahumma Solli 'ala Muhammad wa 'ala Alihi wa Sohbihi wa Sallim.  

Lagu iman dan aman mengingatkan diri agar mensyukuri keamanan yang diperoleh di tanah air tercinta Malaysia, dalam masa yang sama sentiasa mendoakan para mujahideen di Syria, Palestin, Iraq, Rohingya dan seluruh dunia. Allahummansuril Islama wal Muslimin wal Mustadh'ifin Fi Kulli Makan wa Fi Kulli Zaman. Amin ya Robb.

Jatuh bangun

Duhai Tuhanku...
Jatuh bangunku menghambaMu,
Kadang cinta, kadang ku melupa,
Tega ku menyeksa hidup sendiri.

Duhai Tuhanku...
Untuk yang kesekian kali,
Ku bersujud meminta kembali
Hati yang dipijar indah cintaMu.

Tuhan...
Aku tanpaMu, hidupku menderita..
Sunyi hati, kelam jiwa, bagai terpenjara.

Tuhan...
Biarkan kini, aku dalam rahmatMu,
Meski jatuh dan terbangun,
Ku tetap bertahan.

"Allah tidak hanya menguji kita dengan kesakitan dan apa yang kita benci, tapi bahkan Allah turut menguji kita dengan kenikmatan dan apa yang kita cinta.

Musibah atau nikmat, pulangkanlah kepada Tuhanmu kerana Dialah Pemilik segala-galanya. Benci atau cinta, kembalikanlah kepada Allah kerana Dialah Pencipta perasaan itu dan yang mencampakkannya ke dalam hatimu.

Jangan kita terlampau leka dengan 'hadiah' sehingga terlupa kepada Sang Pemberi hadiah. Cinta kepada makhluq, jangan sampai melebihi cinta kepada Khaliq!"    

"Ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah." [Al-Baqarah 2:165]

Ya Allah rezekikan aku kecintaan terhadapMu.


Monday, August 5, 2013

Wanita, bersediakah anda menjadi penyejuk mata?


"Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan anak pinak kami, penyejuk mata kami. Dan jadikanlah kami penghulu bagi orang-orang bertaqwa.”

Ya. Penyejuk mata. Suatu perkara yang tidak pernah kita lupa untuk pohon setiap kali kita menadah tangan berdoa. Kenapa Allah ta’ala suruh kita minta penyejuk mata? Sebabnya, itulah yang bakal menjamin ketenangan dan kebahagiaan kita dalam kehidupan nanti.

Bagaimana kalau nantinya ada isteri, tetapi seringkali menyakitkan hati kita, raut wajahnya langsung tidak mendamaikan kita, tingkah lakunya ada sahaja yang tidak kena di mata kita. Adakah kita akan bahagia? Bagaimana pula kalau nantinya ada anak. Comel-comel belaka. Tetapi wujudnya mereka begitu menyusahkan kita, sikap mereka kerapkali melukakan hati kita, kedegilan mereka selalu sahaja membuatkan kita hilang sabar dan sakit hati sentiasa. Adakah kita beroleh ketenangan?

Tentu sekali tidak.

Lantas, kita dianjurkan supaya berdoa. Minta supaya Allah beri pasangan yang mendamaikan hati dan perasaan kita, serta zuriat yang boleh menjadi penyejuk mata kita. Mudah-mudahan, Allah makbulkan doa dan permintaan kita.

Suatu lontaran untuk para wanita hari ini, khususnya yang belum berumahtangga.

Sedarkah anda , bahawa bakal teman hidup anda setiap hari berdoa supaya anda menjadi penyejuk mata mereka? Sedarkah anda, bahawa mereka tidak pernah melupakan anda dalam setiap doa mereka?

Tidak. Saya tidak maksudkan anda mengenali mereka atau mereka mengenali anda.

Tetapi hakikatnya, mereka mendoakan anda yang bakal hadir dalam hidup mereka suatu ketika nanti. Sayangnya, anda mungkin terlupa lantaran anda tidak kenal siapa mereka. Kerana itu juga, anda kurang mengambil berat tentang persediaan anda untuk menjadi penyejuk mata mereka.

Penyejuk mata?

Sungguh, ia bukan tugas yang mudah. Kalau anda fikir ia akan berhasil dengan anda berhias diri, memakai wangian dan berbaju cantik di hadapan mereka setiap hari, sesungguhnya anda silap sama sekali. Anda harus sedar, ramai sekali golongan cantik dan menawan di luar sana yang gagal untuk menjadi penyejuk mata kepada suami mereka. Bahkan sebahagian besar dari mereka berakhir dengan perceraian. Semoga dijauhkan Allah.

Menjadi penyejuk mata suami, prosesnya bermula hari ini.

Tilik kembali diri anda. Zahiriah dan batiniah. Kedua-duanya.

Pertama sekali, bagaimana hubungan anda dengan Allah? Solat wajib dan sunat. Bacaan Al-Quran. Zikir munajat. Selawat serta amalan-amalan yang lain. Berapa peratus yang telah anda capai dan lakukan secara istiqamah? Tahukah anda, faktor paling besar yang menentukan samada anda berjaya atau tidak menjadi penyejuk mata suami adalah ; cemerlang atau tidak hubungan anda dengan Allah? Justeru, perbaiki dari sekarang.

Kedua, sikap dan perangai. Carilah seorang kawan yang jujur dan yang anda kira agak rapat serta kenal dengan anda. Sekiranya anda yakin akan kejujurannya, minta pandangannya tentang diri anda, terutama tentang sikap dan perangai. Jika anda dapati diri anda masih dibelenggu sikap meninggi diri, degil, ego yang tinggi, kurang rasa hormat pada orang, suka mengumpat, pemalas dan seribu satu sikap negatif yang lain, maka perkara pertama yang wajib anda buat adalah ; kikis sedaya upaya semua sikap tersebut dari terus melekat dalam diri anda. Percayalah, ia antara faktor yang bakal menggagalkan anda dari menjadi penyejuk mata suami.

Ketiga, lihat balik luaran diri anda. Khususnya pemakaian. Sempurnakah anda dalam menutup aurat? Jika masih selesa bertudung ringkas, berbaju t-shirt lengan sekerat dan berseluar jeans separa ketat, maka percayalah anda bakal bertemu kegagalan. Itupun sekiranya anda mempunyai hasrat untuk bergelar penyejuk mata suami.

Tidak, ini bukan soal suami anda islamik atau tidak, mengambil berat semua perkara itu atau tidak. Ia adalah soal Si Pemberi Ketenangan, iaitu Allah. Kalau Dia tak bagi, siapa lagi yang boleh bagi?

Mudahnya begini. Doa itu kan permintaan kita dengan Allah. Contohnya, kita minta supaya Allah terangkan hati kita supaya mudah belajar. Tetapi kita tidak berhenti dari tabiat suka minum arak. Mana mungkin Allah akan berikan ketenangan itu pada hati kita yang gelap?

Sama juga. Suami minta pada Allah, berikan dia penyejuk mata supaya dia beroleh tenang dalam hidup. Tetapi kita pula melazimi maksiat dan penderhakaan kepada Allah. Aurat kita terdedah setiap hari. Akhlak kita langsung tiada ciri isteri mithali. Hubungan kita dengan Allah lompong di sana sini. Lantas, adakah kita layak untuk menduduki tempat ‘penyejuk mata’ tersebut? Bagaimana pula kita yang jauh dari Tuhan, boleh menjadi penyejuk mata manusia?

Sekadar lontaran buat kaum hawa. Ramai di antara anda mahu menjadi isteri solehah suatu ketika nanti. Tetapi usaha ke arah itu masih lemah. Perbaikilah dari sekarang. Bisikkan ke dalam hati anda setiap hari, bahawa anda bakal menjadi penyejuk mata kepada seorang lelaki yang baik suatu ketika nanti. Lelaki itu pula setiap masa mendoakan anda supaya berjaya menjadi penyejuk mata mereka suatu masa nanti. Besar harapan mereka, sanggupkah anda hancurkan begitu sahaja?

Jadi mulai hari ini, berusahalah untuk menjadi penyejuk mata suami. Sebenarnya, andai anda mampu melaksanakan langkah pertama yang saya sebut di atas ; iaitu memperbaiki hubungan anda dengan Allah, maka anda sebenarnya telah berjaya melepasi separuh masa pertama piala kemenangan untuk bergelar isteri solehah – penyejuk mata suami.

Justeru, selamat berjaya, wahai para penyejuk mata!

Aku tahu kamu sentiasa mendoakan aku supaya menjadi penyejuk matamu, kerana aku juga turut sama mendoakan dirimu setiap kali dalam doaku. Semoga kita sama-sama dapat memperbaiki diri dan hubungan kita dengan Allah, agar dapat menjadi penyejuk mata antara satu sama lain suatu hari nanti, inshaaAllah.

Sunday, August 4, 2013

Aidilfitri...Adakah kita layak untuknya???


Raya 2012

Apabila Aidilfitri sudah semakin hampir. Bagaimanakah keadaan kita? Ya, pastinya ramai yang bergembira, pastinya ramai yang bersukaria. Kadangkala, hingga kita terlupa bahawa Ramadhan hadiah Allah itu sudah hendak pergi meninggalkan kita. Kadangkala, hingga kita memberhentikan segala ibadah dan amalan kerana kononnya hendak fokus kepada Aidilfitri yang menjelang.

Saya melihat kepada diri saya sendiri. Satu soalan yang beberapa tahun kebelakangan ini saya tanya pada diri.

“Apakah saya adalah seorang yang layak merayakan Aidilfitri?”

Persoalan itu timbul di dalam diri saya.

Oh ya, sebelum kita pergi jauh kepada persoalan yang ditimbulkan oleh saya itu, saya ingin membuka satu lagi persoalan: “Apakah kita ini tahu sebenarnya Aidilfitri itu untuk siapa?”

Tahukah?

Adakah kita layak untuk merayakannya sebenarnya?

Dan bagaimanakah sebenarnya untuk merayakannya?

Makna Aidilfitri dan hakikatnya

Perkataan ‘Aid’ atau (‘id) pada awal kata Aidulfitri adalah berkmaksud perayaan. Perkataan ‘fitri’ atau (fitr) pula pulang kepada makna Fitrah. Di dalam bahasa arab, saya sering menyebutnya dengan ejaan begini: ‘idulfitr. Perkataan ‘id + al-fitr.

Melihat semula maknanya, maka hakikatnya Aidilfitri ini adalah perayaan merayakan fitrah. Fitrah apakah yang hendak dirayakan ini? Mengapa namanya demikian?

Maka di sinilah kita perlu melihat semula kepada Ramadhan. Apakah kegunaan Ramadhan?

Ramadhan adalah kem pengislahan diri, peningkatan peribadi, pembersihan hati. Sekiranya kita benar-benar mengisi Ramadhan dengan baik, maka kita akan keluar daripada menjadi seseorang yang baru. Seseorang yang seakan bayi baru lahir. Suci sesuci fitrahnya yang sebenar. Kita akan kembali kepada fitrah kita yang hakiki, yakni menjadi hamba Allah SWT yang taat.

Aidilfitri wujud, untuk meraikan graduan-graduan Ramadhan yang berjaya kembali kepada fitrah. Aidilfitri wujud, untuk meraikan mereka yang bermati-matian mengisi Ramadhan dengan amal ibadah dengan tujuan untuk kembali kepada fitrah ini. Aidilfitri wujud, untuk mereka yang menghidupkan Ramadhan dan mengambil manfaatnya dengan bersungguh-sungguh, untuk dibawa keluar manfaatnya itu pada sebelah bulan yang lain.

Itulah maknanya Aidilfitri.

Persoalannya, apakah kita…?

Persoalannya, apakah kita telah mengisi Ramadhan dengan bersungguh-sungguh?

Persoalannya, apakah kita menghidupkan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh?

Persoalannya, apakah kita menghargai Ramadhan dengan amalan-amalan kita?

Persoalannya, apakah kita benar-benar mengerah diri untuk menyerap khasiat Ramadhan?

Dan kemudian kita bergembira-gembira walaupun Ramadhan belum tamat bahkan dalam keadaan sudah hampir hendak pergi meninggalkan kita, dalam keadaan kita bersambil lewa dan bermain-main dalam melayani Ramadhan?

Saya ada rasa sedikit malu pada diri saya. Sebab saya kira, Aidilfitri bukan untuk saya.

Perasan atau tidak, untuk mereka yang bermain-main di dalam Ramadhan, yang tidak bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan, Aidilfitri jelas sekali bukan satu perayaan untuk mereka.

Sebab kita tidak berjaya kembali kepada fitrah. Ramadhan kita isi dengan drama-drama dan perkara yang melalaikan. Kita tidak bangkit pun qiam. Kita tidak banyakkan pun sedekah. Kita tidak rancang apa-apa pun amal untuk Ramadhan. Kita tidak pula melayan Ramadhan dengan ‘keimanan dan berkira-kira’. Bahkan ada antara kita, di dalam Ramadhan masih bermaksiat, ingkar pada Allah, hidup bukan di atas sistemNya, hidup bukan mencari redhaNya.

Untuk kita yang menyangka Aidilfitri adalah hanya perayaan kita berjaya menahan lapar dan dahaga selama 30 hari, adakah Aidilfitri untuk kita? Saya rasa malu.

Perayaan Aidilfitri yang hakiki

Hakikatnya, yang dinamakan Aidilfitri itu hanyalah pada 1hb Syawal sahaja. Sebab itu, pada hari itu diharamkan untuk seluruh ummat Islam berpuasa.

Hari itu, memang ummat Islam diarahkan bergembira, memakai pakaian yang lawa-lawa, memakai bau-bauan yang wangi, dan diarahkan untuk berkumpul serta membesarkan Allah SWT sebesar-besarnya untuk mensyukuri pengembalian mereka kepada fitrah itu secara beramai-ramai. Kemudian pulang dari masjid untuk berziarah-ziarah.

Tetapi lihatlah, pada 2hb Syawal, kita sudah boleh mula berpuasa enam. Tandanya, 2hb Syawal bukanlah hari besar ummat Islam. Jika di Jordan, suasana ini saya rasai. Pada hari ke-2, sudah berakhir segala promosi raya. Yang ada mungkin hanya ziarah menziarahi sepanjang cuti. Biasanya Kerajaan Jordan akan memberikan cuti sekitar lima hari.

Namun kita, dengan tanpa rasa malu, walaupun mengisi Ramadhan sekadar sambil lewa sahaja, beraya sampai 30 hari lamanya. Kononnya membalas dendam pantang itu ini selama 30 hari di bulan Ramadhan. Bahkan ada pula yang merayakan Hari Raya lebih dari 30 hari.

Tulisan saya ini, bukanlah untuk menyelar mereka yang berziarah walaupun selepas 1hb Syawal. Tidak mengapa berziarah. Ziarahlah. Tujuan artikel ini ditulis, adalah untuk menunjukkan, di mana hakikatnya kita perlu meletakkan kegembiraan kita yang sebenarnya.

Hamba-hamba Allah yang sebenar itu, adalah yang mengambil manisan dunia sekadarnya sahaja. Bukannya melebih-lebih.

Saya lihat, sheikh-sheikh saya yang berdiri lama mengabdikan diri kepada Allah pada bulan Ramadhan, yang masuk ‘hard mode’ dalam Ramadhan dalam beribadah dan menyebarkan kebaikan, cukup bersederhana meraikan Aidilfitri sehari cuma.

Saya jujurnya, malu pada diri saya sendiri.

Sebab itu, puisi itu muncul

Rentetan hal ini, saya ada menulis sebuah puisi beberapa tahun yang lalu:


Aidilfitri belum tiba lagi,
Tidak perlu ucapkan Selamat Hari Raya untukku tika ini,

Sedang Ramadhan kekasihku cintaku hendak bergerak pergi,
aku tidak berkenan merayakan apa-apa kini
waktu ini waktuku untuk waktunya sahaja.
Sekarang ini, aku hanya peduli Ramadhan dan Tuannya sahaja.
Aidilfitri belum tiba lagi, 
dan belum tentu aku layak merayakannya nanti

Kerna Aidilfitri,


Hanyalah perayaan bagi mereka 

yang berjaya mengisi Ramadhan sesempurna hati


~Hilal Asyraf~

050910
1005AM
Rumah, Johor
Malaysia


Puisi ini bukanlah hakikatnya untuk menghalang diri kita dari menyebut selamat hari raya. Tetapi adalah untuk kita rasa tersindir dengan sikap kita yang sebenarnya tidaklah mengisi Ramadhan sesungguh mana pun, namun menyambut Aidilfitri seakan-akan Aidilfitri itu benar-benar untuk dia.

Saya amat terkesan dengan sahabat merangkap senior saya: Abang Ali Irfan bin Jamaluddin.

Saya berkata kepadanya beberapa tahun lepas ketika beberapa hari sebelum tamat Ramadhan: “Selamat Hari Raya Abang Ali.” Terus dengan pantas dia membalas: “Ish, Ramadhan belum habis lagi.”

Ya. Saya malu. Saya jadi malu. Saya telah meninggalkan Ramadhan hadiah Allah yang sebenarnya, sebelum Ramadhan meninggalkan saya. Sepatutnya, saya dakap Ramadhan erat-erat sebelum dia meninggalkan saya. Sepatutnya, saya ‘terpaksa’ terpisah dengan Ramadhan. Bukan me’rela’kan perpisahan saya dengannya.

Sebab Ramadhan adalah hadiah hakiki untuk manusia.

Sedang Aidilfitri, adalah hadiah kepada mereka yang berjaya melayani hadiah Ramadhan dengan baik.

Barangsiapa yang tidak melayani, menghargai hadiah Ramadhan daripada Allah itu dengan baik, hakikatnya Aidilfitri bukanlah untuknya.

Penutup: Kita patut lihat diri kita semula. Muhasabah agar kita adalah yang layak untuk Aidilfitri.

Kita hakikatnya masih ada waktu lagi untuk kita memasukkan diri kita dalam kalangan mereka yang layak merayakan Aidilfitri. Kita masih ada waktu. Kita masih ada peluang. Ramadhan yang berjalan ini tidak patut kita sia-siakan.

Kita sepatutnya melihat semula diri kita. Hari-hari yang telah berlalu, apakah yang telah kita lakukan.

Kemudian perhatikan, apakah kita ini hakikatnya layak merayakan Aidilfitri?

Sama-samalah kita muhasabah.

Waktu masih ada.

Jangan jadi hamba yang tidak bersyukur, kemudian celaka.

Sedang Ramadhan ini Allah berikan sebagai hadiah yang besar buat kita para pendosa.

Apakah tergamak kita membuang Ramadhan ini begitu sahaja?


Tenanglah Hati~

Hawa,


Jangan rendahkan maruahmu dengan begitu mudah menyerah kepada lelaki. Dalam lembutmu perlu ada tegasnya, dalam ramahmu pertahankan prinsip. Jangan sesekali kalah dengan perasaan!

Adam,


Jangan calarkan kredibilitimu dengan memujuk rayu sang hawa. Jika benar-benar lelaki sejati, terus saja ketemu walinya. Gagahlah dalam mengurus perasaanmu, jangan mudah lembik hanya kerana seorang wanita!

Ramadhan bulan mendidik nafsu dan jiwa. Tundukkan hatimu, ajar ia untuk mengutamakan Cinta kepada segala cinta. Jika tidak mencintai Allah, bagaimana mahu bercinta kerana Allah?

Serahkanlah soal cinta dan masa depanmu kepada Allah. Usah khuatir, jika engkau lelaki yang soleh, pasti Allah akan kirimkan si bidadari yang solehah buatmu kelak. Jika engkau wanita yang solehah, pasti Allah akan menghadiahkanmu dengan sang Imam yang soleh nanti. (An-Nur : 26)

Masihkah ragu-ragu lagi dengan janji Tuhanmu?