Thursday, December 5, 2013

Qadha', Qadar dan Tawakkal

-Bismillahirrahmanirrahim-

Sambungan entri sebelum ni ; nota PIM 3112

***

[Qadha' dan Qadar]

Katakanlah (wahai Muhammad) : “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.”
(Surah at-Taubah ayat 51)

“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).”
(Surah al-Qamar ayat 49)

Daripada Jabir r.a. bahawa Nabi SAW bersabda : “Tidak dikira seseorang beriman sehingga ia percaya dan mengakui benarnya Qadha’ dan Qadar baik dan jahatnya dan sehingga ia menyakini bahawa apa yang ditakdirkan berlaku atau sampai kepadanya, tidak sekali- kali akan menyimpang daripadanya dan apa yang ditakdirkan menyimpang daripadanya, tidak sekali-kali akan berlaku atau sampai kepadanya.” 
(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pengertian Qadha’

Bahasa : Hukum.

Istilah : Ketentuan atau ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. ke atas makhluknya sejak azali lagi.

Pembahagian Qadha’

  • Qadha’ Mubram > Adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu pun. Contoh ajal maut. 

Firman Allah s.w.t. bermaksud, “Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib.”
(Surah al-An'am ayat 59)

  • Qadha’ Muallaq > Adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. Contoh panjang umur ; bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain. 

Pengertian Qadar

Bahasa : Pelaksanaan.

Istilah : Pelaksanaan ke atas setiap ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Hidup manusia diatur sejak di alam rahim

Dari Anas, dari Nabi Muhamad sabdanya: “Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, malaikat bertanya: “Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, malaikat bertanya lagi: “Ya Tuhanku! adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?” (setelah malaikat mendapat jawapannya) maka dia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya.” 
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad)

Takdir boleh berubah

Di antara perkara yang boleh mengubah ketetapan di Lauh Mahfuz ialah doa dan amalan yang baik, berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik.”
(Riwayat at-Tirmizi)

Contoh situasi salah faham tentang qadha’ dan qadar


“Sudah takdir saya dilahirkan sebagai pencuri.” 

“Nak buat macam mana? Sudah nasib aku tidak mendapat kerja. Terima sajalah...” 

Situasi di atas termasuk dalam kategori qadha’ muallaq iaitu ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara.

Sesuatu qadha’ yang ada pilihan, sama ada baik atau buruknya pilihan itu, adalah qada’ Allah dan qadar (buruk atau baik) cuma akan berlaku setelah pilihan itu dibuat oleh si pembuat pilihan. Seseorang itu tidak boleh menyalahkan qadar (takdir) buruk yang ditentukan oleh usaha dan pilihannya sendiri.

Kematian

Mati itu akan dirasai oleh semua yang bernyawa. Tetapi bagaimana kesudahan hidup kita adalah bergantung kepada amalan dan usaha kita.

Sebab itu kita disuruh berdoa, “Ya Allah, matikanlah kami di dalam keadaan husnul khatimah (sebaik-baik kesudahan) dan janganlah Kau matikan kami di dalam keadaan su’ul khatimah (kesudahan yang tidak baik).”

Mati itu adalah qadha’ dan bagaimana kesudahan hidup kita itu adalah qadar (takdir).

Menghadapi qadha’ dan qadar


• Menerima dan redha terhadap apa yang ditakdirkan oleh Allah, kerana Allah Maha Adil dan tidak mungkin melakukan kezaliman terhadap makhluk-Nya.

• Mestilah bersabar sekiranya Allah takdirkan sesuatu yang buruk berlaku ke atas diri kita.

Keperluan beriman kepada qadha’ dan qadar


• Menisbahkan kepada Allah atas segala yang berlaku di dunia ini.

• Beriman bahawa hanya Allah memiliki kuasa mutlak menentukan urusan dunia.

• Menyedarkan bahawa manusia itu lemah dan perlukan bantuan Allah.

• Supaya seseorang itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya

[Tawakkal]

Tawakkal bermaksud bersikap berserah diri kepada Allah s.w.t. dengan menyedari Allah adalah pencipta dan pentadbir bagi alam ini. Tidak ada daya dan kuasa melainkan miliknya yang mutlak.

Menurut Yusuf al Qardhawi : "Tawakkal ialah seorang manusia yang menyusun dan mengatur persiapan, persediaan, strategi dan daya usaha, kemudian dia menyerahkan hasilnya kepada Allah s.w.t."

"Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan yang hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya".
(Surah al-Furqan : 58)

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal".
(Surah at Taubah : 51)

***

Ok la setakat ini sahaja nota yang dapat saya kongsikan. Ringkas dan padat. Kalau nak penjelasan lebih lanjut boleh la rujuk buku2 di perpustakaan atau sumber2 lain yang boleh dipercayai. :')

Akhir kalam,

"Jangan biarkan setiap hari berlalu tanpa membaca atau mendengar ilmu baru. Ilmu itu penyuluh, tiket untuk kejayaan dunia dan akhirat." 

Semoga diri ini tidak pernah jemu dalam misi memperlengkapkan diri dengan ilmu. InshaaAllah. 

Keys off, wslm 'alaik~

No comments:

Post a Comment