Monday, September 23, 2013

Menjadi kekasih Allah... Bagaimana???

Assalamualaikum... Alhamdulillah masih diberikan peluang olehNya untuk mencoret di blog ini buat kesekian kalinya. Minggu ni merupakan minggu pertama kuliah setelah 2 bulan berpraktikum. Tak belajar sangat pon, duk borak-borak je dalam kelas dengan pensyarah. Hehe~ ^^ Pagi ni ada dua masa je kelas, 3 masa lagi free sebab pensyarah takde.

Memandangkan sekarang pintu asrama dah dikunci, jadi saya dan sahabat-sahabat buat keputusan untuk habiskan masa di library. Nahhh, masa ni la dapat idea untuk post entri baru. Alhamdulillah hari ni berpeluang untuk 'bedah' buku “cinta kerana Allah” =) Ni serba sedikit mutiara ilmu yang dapat dikutip hasil pembacaan tadi. Sharing is caring, moga bermanfaat. ;)

Aiz ibnu Syarhabil ibnu Samath, suatu ketika bertanya kepada Amru ibnu Abasah: “Benarkah kau pernah mendengar sabda Rasulullah, dan kau tidak mengada-ada apatah lagi melakukan pembohongan terhadap Rasulullah?” Amru ibnu Abbas menjawab : “Benar.” Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda bahawasanya Allah berfirman :


“Aku wajibkan kasih cinta-Ku bagi orang-orang yang saling mencintai kerana diri-Ku. Dan Aku wajibkan kasih cinta-Ku bagi orang-orang yang saling tolong menolong kerana diri-Ku.”


Jangan separuh hati dalam mewajahkan rasa cinta kita kepada sesama hamba Allah. Jangan memberi harga atas jasa baik atau menuntut pembalasan dan ganjaran atas pertolongan yang kita berikan kepada sesama manusia. Sebab, cinta Allah hanya diperuntukkan bagi manusia yang tulus mencintai dan menolong sesamanya semata-mata demi menggapai redha-Nya. Tidak ada sebarang ruang bagi mendapat cinta Allah untuk mereka yang tidak mentuluskan cinta di hatinya pada landasan hanya kerana Allah semata-mata.

Oleh yang demikian, jernihkan niat dalam melakukan sesuatu. Lebih-lebih lagi dalam memberikan pertolongan sesama makhluk Allah di muka bumi ini. Jangan sesekali meletakkan matlamat untuk mendapat ganjaran, waima sekadar pujian di sebalik segala pertolongan yang dihulurkan. Ini kerana, perbuatan bersandarkan niat sedemikian hanya akan melupuskan ganjaran daripada Allah atas segala kebaikan yang dilakukan itu. Bahkan, ia juga menjauhkan diri kita daripada kasih cinta Allah.

Sebaliknya, luruskan segala niat betapa apa jua pertolongan yang dihulurkan adalah hanya kerana Allah semata-mata. Tanamkan di dalam diri betapa perasaan cinta dan pertolongan yang dihulurkan itu semata-mata kerana ingin menggapai redha Allah. Usah khuatir dengan ganjaran. Ini kerana biarpun ganjaran dunia tidak menjelma akan tetapi ganjaran Allah berupa kasih sayang dan cinta-Nya kepada kita sentiasa menanti mereka yang menjadikan ‘hanya kerana Allah’ sebagai landasan segala perasaan cinta dan pertolongan yang dihulurkan antara sesama manusia.

Jika kita mampu menerapkan perkara tersebut dalam diri, nescaya kita akan menjadi sebahagian daripada para kekasih Allah dan manusia-manusia terpilih.


#Yok sama-sama berusaha untuk jadi kekasih Allah! Amalkan sikap mencintai dan tolong menolong lillahi ta’ala. =)

#Kalau tiap-tiap hari bedah buku macam ni, boleh buat buku la cuti akhir sem nanti. Heeee~ =D

#Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin hikmah pagar asrama dikunci nak suruh rajin-rajin baca buku kat library + dapat topup ilmu baru. Think positive! ;) 

#Next project, inshaaAllah 'bedah' buku tentang fiqh pula. ^^

No comments:

Post a Comment